Isnin, 24 Februari 2014

Mini Novel : Encik Media Sosial 4



BAB 4

Dah buat salah tahu pula nak rasa malu. Aku ketuk kepala sendiri. Yang pergi sesedap hati cap ayam dalam tin pergi angkat kening dekat Encik Rezul siapa suruh? Tanggunglah akibatnya sendiri. Mari kita imbas kembali kejadian memalukan yang berlaku di meja makan tadi.

“Amboi, siap main mata lagi saya tengok.” Puan Hazra menegur membuatkan aku dan Encik Rezul sama-sama tersedak. Alamak! Terkantoi pula. Encik Rashid ketawa.

“Biasalah. Budak-budak muda. Dah suka katakan suka.” Encik Rashid cakap selamba. Aku tak tahu nak beri reaksi macam mana. Aku pandang Encik Rezul yang kulit mukanya sudah semakin merah.

“Mana ada puan, encik. Tak akanlah saya nak kacau suami orang. Mahu kena kejar dengan parang.” Aku beri jawapan untuk selamatkan keadaan. Sebab ini semua memang salah faham. Tak akanlah baru kenal sehari sudah jatuh cinta?

Tiba-tiba keadaan yang tadi ceria berubah sedikit hening. Aku pandang semua. Sudah tersalah cakapkah? Rasa kekok pula. Itulah Rai, cakap siang pandang-pandang. Terlajak perahu boleh diundur terlajak kata badan binasa. Memang cukup kena dengan situasi sekarang ni.

“Kuatnya awak sental pinggan tu. Dah bersih dah rasanya.” Suara seseorang menegur mengembalikan aku ke dalam dapur.

“Encik nak apa-apa ke?” Rasa malu masih ada. Apa agaknya tanggapan Encik Rezul padaku?

“Saya nak minum air,” jawabnya ringkas. Dia buka peti ais dan keluarkan botol jus. Krikk… krikk… Aku rasa kalau angin lalu ni pun boleh dengar. Sunyi dan kekok.

“Err… maaf pasal tadi ya encik.” Aku memulakan bicara. Tidak betah keadaan sunyi macam ni.

“Kenapa awak minta maaf pula? Tak ada salah apapun.” Dia senyum macam biasa.

“Iyalah. Disebabkan kata-kata saya tadi semua jadi lain macam aje.”

“Lain macam mana ya?” Dia meneguk minuman tapi mata memerhati aku.

“Semua tiba-tiba diam aje. Nasib baik Farah bercakap tadi. Kalau tidak mesti semua macam patung aje. Maknanya saya ada salah cakaplahkan?”

“Awak ni. Fikir jauh sangat. Tak ada apalah. Semua diam tadi sebab tak ada apa nak cakap.” Dia bagi alasan nak sedapkan hati aku. Tapi aku bukannya budak kecil yang tidak faham situasi tadi.

“Kalau encik dah cakap macam itu, saya anggap dah maafkan sayalah ya.” Senang! Malas aku mahu ambil tahu hal lain. Mungkin masalah keluarga mereka. Aku orang luar baik tak payah masuk campur.

“Awak ni Raihanah. Saya cakap awak tak ada buat salah apapun. Jadi, kenapa perlu ucap kata maaf?” Encik Rezul letak cawan dalam singki. Kemudian dia menoleh ke arahku sambil memeluk tubuh.

“Minta maaf bukan kena bayar pun encik. Percuma aje. Kadangkala kita tak sedar pun yang kita ada buat salah dengan seseorang. Baik dari segi percakapan mahupun perbuatan. Jadi, minta maaf ajelah.”

“Walaupun awak tak buat salah?”

“Perkataan maaf tu nampak aje pendek tapi kenapa sukar untuk seseorang itu lafazkan? Macam saya cakap tadi. Percuma aje perkataan maaf tu. Tak ada rugi apapun kalau kita cakap.”

“Kalau ucap kata maaf tapi dalam hati tak ikhlas. Macam mana pula tu?” Eh, banyak pula soalan Encik Rezul ni.

“Saya ni bukanlah pakar motivasi. Jauh sekali kalau nak dibandingkan dengan orang-orang hebat di luar sana. Tapi, yang saya tahu ikhlas atau tidak itu antara kita dengan Allah. Kenapa nak ucapkan kata maaf tapi dalam hati tak ikhlas? Adakah sebab ego yang melambung tinggi? Kalau orang ego macam tu, campak dekat laut aje encik.”

Encik Rezul ketawa mendengar jawapanku.

“Saya suka berbual dengan awak. Sekali buka mulut tu memang berdas-das perkataan yang keluar.” 
Sempat lagi mamat ni bergurau. Aku ketawa sahaja.

“Farah mana encik?” Aku tukar topik.

“Ada dekat depan dengan atuk dan nenek dia.”

“Saya suka tengok encik layan Farah,” pujiku dengan senyuman lebar.

“Kenapa suka pula?”

“Encik ni suka sangat tanya kenapa?”

Dia ketawa lagi. Kali ini lebih kuat. Sampai berair matanya.

Sorry, sorry. Mungkin sebab saya dah terbiasa tanya student soalan macam-macam. Itu yang sampai terbawa-bawa bila berbual dengan awak.” Dia jelaskan.

“Nasib baik saya bukan student encik.”

“Kenapa pula?” Tengok! Dia mula lagi. Encik Rezul garu kepala bila sedar dia sedang menyoal lagi sekarang.

“Nasib baik saya bukan student encik. Kalau tidak mesti selalu kena soal.” Aku jelaskan apa yang lelaki ini tanya tadi.

“Pensyarah ni bertanya sebab dia nak tahu student dia faham ke tidak apa yang dia ajar. Bukan tanya tanpa sebab.” Tak nak kalah Encik Rezul ni.

“Ayah!” Farah muncul dan berlari ke arah Encik Rezul.

“Ayah dan kakak buat apa ni?” soalnya sambil pandang aku dan Encik Rezul.

“Ayah berbual dengan kakak. Kenapa? Farah nak apa-apa ke?”

Aku ketawa kecil. Dengan anak sendiri pun lelaki ini masih bersoal jawab. Berkembang pesat saraf-saraf dalam kepala dia agaknya.

“Jom kita pergi jalan-jalan,” pinta Farah sambil buat muka comel. Encik Rezul angkat muka dan memandangku.

“Kita ajak kakak sekali nak tak?” Encik Rezul minta kebenaran Farah. Melompat gembira si kecil ini.

“Boleh! Boleh! Farah pergi beritahu atuk dan nenek.” Farah terus berlari keluar.

“Comel...” Aku cakap perlahan. Merujuk kepada kecomelan Farah.

“Siapa comel? Saya ke?”

“Eh, encik ni! Bukanlah. Sudah-sudah. Nak muntah hijau dah saya menjawab soalan encik. Nasib baik tak koma lagi ni.” Selamba aku bercanda.

“Amboi, tajamnya statement.” Encik Rezul cekak pinggang. Aku ketawa sambil angkat bahu. Suka pula dapat mengenakan lelaki ini.

“Encik pergilah siap. Kata nak keluar.” Aku lap hujung mata yang sedikit berair. Seronok sangat ketawa.

“Awak ni lain macamlah Raihanah.” Encik Rezul buat kenyataan mengejut sambil senyum senget.

“Lain macam mana? Maksud encik?” soalku tidak sabar. Mahu mengetahui apa maksud lelaki ini.

Tiba-tiba Encik Rezul ketawa. Nampak seronok benar. Dia berjalan mahu keluar dari dapur tanpa menjawab soalanku.

“Encik nak pergi mana pula tu? Soalan saya bila nak jawab?”

Gotcha! Awak ni macam mesin bertih jagung. Cakap non-stop. Tanya soalan mengalahkan saya. Nanti saya yang koma dekat sini.” Encik Rezul ketawa dan berlalu. Aku ketap bibir. Cis! Dia kenakan aku rupanya. Saje je buat statement yang membuatkan aku tanya banyak soalan.  Mesin bertih jagung? Akhirnya aku turut ketawa.


Aku pimpin tangan Farah. Seronok pula dapat berjalan macam ni. Puan Hazra dan Encik Rashid sedang duduk di bawah pohon yang agak rendang. Menikmati angin petang barangkali. Sekarang Malaysia tengah kemarau. Berangin macam ini pun sudah bersyukur sangat.

“Raihanah, tunggu sekejap.” Encik Rezul berlari ke arah kami. Dia pergi beli minuman tadi. Aku sambut huluran air mineral yang diberi Encik Rezul.

“Jom bergambar.” Encik Rezul beritahu tiba-tiba. Dia dah keluarkan iPhone dari poket seluar.

“Tak naklah encik. Encik ambil aje gambar dengan Farah.” Tolakku bersahaja. Aku memang tidak suka bergambar. Iyalah, aku bukannya cantik. Jadi, untuk tayang gambar pada umum bukanlah pilihanku.

“Kenapa pula tak nak?” Encik Rezul seperti tidak puas hati.

“Saya ni ratu kura-kura. Pemalu…” Aku letak tangan bawa dagu. Encik Rezul ketawa.

“Ratu kura-kura ni berharga tau. Bila orang dekat dia sembunyi. Bila sama-sama spesies dia baru dia okay. Saya ni spesies tu juga. Raja kura-kura.”

Aku tak dapat menahan diri dari ketawa. Encik Rezul ni macam-macamlah. Nak juga menyibuk. Aku ratu dia nak jadi rajanya pula. Malulah macam ni. Datang dah mood ala-ala gedik gitu.

“Encik pemalu? Buat lawak tahap maharaja lawak mega encik ni.” Aku gelak lagi. Farah memandang aku dan ayahnya silih berganti.

“Eh, awak tak percaya ke?” Encik Rezul buat muka seposen. Nak kelentong akulah tu.

“Pirah mak bedah, saya dah tahu dah. Gambar encik yang beratus dalam instagram tu apa ke jadahnya?”
Encik Rezul ketawa dengar pantun dua kerat aku yang merapu. Sekejap aje dia ketawa sebelum dia memandangku.

“Sekejap… sekejap… Awak skodeng instagram saya ya?” Encik Rezul angkat kening. Aku tutup mulut dengan tangan. Nak melopong macam gua dah ni. Eh, pergi kantoikan diri sendiri buat apa Raihanah oi? Kan dah malu setepek.

“Err… saya tertengok aje encik. Tak ada nampak apa-apa pun.” Mulalah tergagap. Tahu takut. Encik Rezul kecilkan mata.

“Iyake awak tak nampak apa-apa? Macam tipu aje…” Ini memang kes balas dendam. Kaw-kaw Encik Rezul nak kenakan aku.

“Eh, betul! Saya ni budak baik. Tak adalah nak tengok gambar yang tayang-tayang body semua ni. Malu…”

Lepas dengar jawapan aku, ketawa Encik Rezul kembali kedengaran. Makin kuat pula mamat ni ketawa. 
Ada dua tiga orang yang dah pandang-pandang. Puan Hazra dan Encik Rashid turut pandang ke arah kami.

“Awek jauh dari seberang, cantik pula mata memandang. Awak nampak seperti tak tenang, bercakap sampai pecah lubang.”

Siap berpantun empat kerat pula. Aku garu kepala. Nak faham maksudnya. Bila dah faham aku ketawa. Kantoi lagi! Nampak sangat aku dah nampak gambar dia yang tayang sixpack tu. Kali ni tak dapatlah nak pusing ayat dah.

“Iyalah. Saya skodeng insta encik. Tapi tak ada apa-apa maksud pun. Saya nak cari video yang Farah cerita tu.” Akhirnya aku jadi budak baik. Encik Rezul senyum lebar.

“Sebagai denda awak kena ambil gambar dengan saya dan Farah.” Ceh, ambil kesempatan di atas kesempitan.

Snap!

Selamat gambar kami bertiga di dalam telefon Encik Rezul. Dah macam keluarga bahagia pula. Perasan kau Raihanah.

“Jangan upload dekat mana-mana tau.” Aku pesan pada Encik Rezul. Iyalah, lelaki inikan encik media sosial. Suka benar upload macam-macam untuk tatapan umum. Dia pandang muka aku dengan senyuman kecil.

Don’t worry. Gambar ni saya nak simpan sebagai satu kenangan. Memories are timeless treasures of the heart.”


Aku terdiam. Entah kenapa aku rasa lain macam. Untuk tidak menunjukkan yang aku sudah terusik, aku hanya tersenyum tawar. Encik Rezul sedang bermain kata dengan akukah? Aku anggap ini sebagai gurauan. Sesiapa sahaja boleh menutur ayat ikut suka hati. Jadi, jangan perah santan (perasan) okay? Wake up Rai!

~bersambung...

p/s : Maaf seribu maaf sebab lambat post. Busy sikit :) Harap bab ni tidak mengecewakan. Terima kasih sudi baca dan drop komen ^^ Dan saya nak minta pendapat. Ada yang cadangkan cerita ni untuk dijadikan versi novel. Apa kata anda?