Khamis, 27 Oktober 2011

Calon Isteri Jutawan 2



BAB 2

Aku meraup tangan ke muka selepas siap bacaan doa. Kak Ifti juga sama. Selepas itu kami memulakan bacaan Yassin untuk disedekahkan kepada arwah walid dan umi. Terasa hiba hatiku apabila mengenangkan keduanya. ‘Yanie rindu walid dan umi’, bisikku hiba. Sesekali aku menyeka air mata yang galak mengalir. Kak Ifti juga aku lihat mengelap matanya. Dia juga pasti rindukan walid dan umi.

“Sadaqallahulazim…..” aku dan kak Ifti menghabiskan bacaan Yassin dan membaca doa. Ketika itu jarum jam sudah menginjak ke angka 6.30 pagi. Aku dan kak Ifti menyarung tudung sebelum melangkah keluar.

Bilik arwah walid dan umi aku lihat sudah terang. Pasti Mak Ngah dan Mak Ucu juga sudah bangun. Pak Ngah, Pak Ucu, Qairil dan tiga orang anak lelaki Mak Ucu tidur di ruang tamu. Sepupuku semuanya lelaki. Anak Mak Ucu yang sulung baru sahaja berumur 18 tahun. Dua orang lagi umur 14 dan 11 tahun.

“ Dah bangun Ifti,Yanie..” tegur Mak Ucu. Kami hanya tersenyum.

Kak Ifti sudah memulakan tugas mencuci pinggan. Aku menyusun barang-barang yang berselerak di dapur. Sayup-sayup terdengar suara Mak Ngah di ruang tamu mengejut semua untuk solat subuh. Tidak lama kemudian kelibat Pak Ngah masuk ke bilik air. Selepas itu Pak Ucu pula dan kemudiannya Qairil. Agak lama sikit baru anak Mak Ucu yang sulung, Aiman masuk mengambil wuduk. Hampir jam 7 pagi baru Amirul dan Amir yang berusia 14 dan 11 tahun itu terkejar-kejar masuk ke bilik air. Itupun setelah Pak Ucu sendiri yang mengejutkan mereka. Aku tersenyum sendiri mendengar Mak Ucu membebel tentang tingkah laku Amirul dan Amir. Sekali lagi hatiku disapa rindu untuk mendengar bebelan umi. Umi…

“Lepas ni Yanie nak cari kerja ke?” soalan dari mulut Mak Ucu menyentakkanku.

“Tak tahu lagi Mak Ucu. Kalau nak cari kerja pun, Yanie ingat nak cari yang dekat-dekat sini aje.”

“Nanti lepas Ifti kahwin, Yanie boleh tinggal dengan Mak Ucu ataupun Pak Ngah. Ifti tentu ikut Malik ke Temerloh,” cadang Mak Ucu. Aku memandang sekilas kak Ifti sebelum kembali memandang Mak Ucu.

“Yanie tak fikir lagi semua tu. Kalau kena tinggal sorang pun tak apa. Yaniekan dah besar. Yanie takut tak ada orang yang tengokkan pusara arwah walid dan umi kalau kami berdua tak ada.”

“Hmm…ikut suka kamulah. Mak Ucu cuma cadangkan. Kamu berdua jangan segan-segan nak datang ke rumah Mak Ucu. Kita ni sekeluarga.” Aku tersenyum lebar mendengar bicara Mak Ucu.

…………………

“Hello sayang….” Suara manja di hujung talian membuatkan Izzad tersenyum lebar. Bergetar mendengar suara lunak berkrim di talian. Belum melihat empunya pemilik suara. Sally,gadis kacukan cina-india yang menawan. Kulitnya putih melepak. Belum campur dengan pakaiannya lagi. Fuh! Mahu berpeluh sesiapa yang memandang.

“Sayang…” suara Sally kedengaran lagi.

“Yes,Sally…” Izzad menjawab dengan suara romantis.

“Kenapa you lama tak call I Izzad?”

“I busylah. Nak makan pun I tak sempat tau.” Izzad memberi alasan. Dia tersenyum sendiri. Nak ketawa pun ada. Hari ini sudah tiga orang gadis diberikan alasan yang sama. Sally yang keempat.

“Ooh..tak apalah. Itu untuk kemajuan syarikat you jugakan. Bila kita boleh keluar date lagi? I rasa dah lebih seminggu kita tak keluar samakan. I rindulah nak keluar dengan you.”

“I tak boleh nak janji. I betul-betul sibuk sekarang. Kalau ada waktu free, I akan contact you. I have to go. Bye Sally.”

“Bye sayang. I love you Izzad.”

Izzad terus menekan butang merah. Dia ketawa berdekah-dekah sambil memegang perut. Lucu mengingatkan tingkah wanita-wanita yang menjadi teman rapatnya. Muna, Farra, Michelle dan Sally. Tidak sudah-sudah melafazkan kata cinta kepadanya. Mudah sungguh.

“Kau ni kenapa? Ketawa macam orang tak ingat dunia?” tegur Adam yang baru melangkah masuk ke bilik Izzad.

Izzad Daniel. Jutawan muda yang sedang popular seperti goreng pisang panas. Popular dengan kisah kejayaan syarikatnya dan tidak kurang juga popular dengan cerita scandalnya. Jutawan muda berusia 30 tahun yang masih bujang. Status yang sentiasa membuatkan pemuda berdarah kacukan melayu-cina itu menjadi perhatian dan rebutan ramai anak gadis. Tidak kurang juga mak-mak gadis yang kegersangan kasih sayang.

“Perempuan-perempuan nilah. Tak faham betul aku. Mudah sungguh ungkapkan kata cinta. Padahal, aku tak pernah balas pun ucapan cinta diorang tu. Fening-fening….” Izzad menyambung ketawanya. Adam hanya tersenyum sambil duduk di depan Izzad.

“Mereka tu dah tangkap cintan dengan kau. Kau cakap tak cinta, tak suka, tapi kau layan mereka tu macam special girlfriend. Mana mereka tak salah faham.” Adam memandang Izzad yang sedang membuka fail. Izzad memang seorang yang serius dalam kerja. Mungkin sebab itulah dia berjaya sehingga sekaya ini. Cuma dalam perhubungan, jutawan muda itu seperti main-main. Tidak pernah mahu serius dengan seorang wanita.

“Dah memang cara aku layan perempuan macam tu. Nak buat macam mana.” Izzad tergelak sendiri.

“Yalah tu. Err… petang ni kau jadi ke nak pergi kelab golf diraja tu?” soal Adam sambil membetulkan duduk.

“Jadi. Datuk Onn tu nak bincang pasal projek dekat sana. Nak tak nak aku kena pergi juga.”

“Kalau macam tu aku datang jemput kau pukul 3 petang ni. Ada apa-apa lagi?” Adam sudah bangun berdiri. Selaku kawan baik merangkap pemandu dan merangkap pengawal peribadi Izzad, dia sentiasa setia di sisi lelaki itu. Mereka sudah berkawan dari kecil. Dulu arwah ayahnya yang berkhidmat dengan keluarga Izzad, sekarang tiba gilirannya pula.

“Nope! Thanks Adam. Kalau ada apa-apa aku call kau.”

“Okey. Aku keluar dulu ye.” Adam bangun dan berlalu keluar. Izzad kembali menfokuskan pada fail di atas mejanya. Petang ini dia mahu berbincang satu projek besar dengan Datuk Onn. Mudah-mudahan semuanya berjalan lancar.

……………………

Aku bersalaman dengan Mak Ngah dan Pak Ngah. Qairil sudah berjalan ke kereta untuk meletak beg. Pak Ngah, Mak Ngah dan Qairil sudah mahu pulang ke Seremban memandangkan Qairil akan mula bekerja esok begitu juga Pak Ngah. Mak Ucu sekeluarga juga sudah berangkat pulang ke Perak tengahari tadi.

“Duduk berdua ni, hati-hati sikit. Jaga diri,” pesan Pak Ngah kepadaku dan kak Ifti. Kami hanya mengangguk.

“Kalau nak datang Seremban, call aje. Mak Ngah suruh Qairil datang ambil. Mak Ngah risau tinggalkan korang berdua ni.” Mak Ngah pula bersuara.

“Mak Ngah dan Pak Ngah jangan risau. InsyaAllah, kami tak apa-apa.” Kak Ifti meyakinkan. Pasangan suami isteri itu hanya mengangguk.

“Terima kasih Pak Ngah sekeluarga sebab banyak membantu kami menguruskan jenazah dan majlis tahlil semalam.” Aku mewakili kak Ifti bersuara.

“Kita sekeluarga. Memang patut saling membantu. Pak Ngah harap Ifti dan Yanie tabah menghadapi dugaan Allah ini.”

“Kami bertolak balik dulu. Assalamualaikum.”

“Saya balik dulu kak Ifti,Yanie.” Qairil yang baru tiba tercegat di depanku. Pak Ngah dan Mak Ngah sudah masuk dalam kereta. Aku dan kak Ifti mengangguk sahaja. Qairil masih berdiri. Serius aku cakap yang Qairil ni macam ada benda nak cakap. Macam malam semalam.

“Ril ada benda nak cakap ke?” soal kak Ifti. Kalau kak Ifti tak tanya aku yang akan tanya. Qairil ni memang peliklah.

“Senang-senang datanglah Seremban,” ujar Qairil. Aku dan kak Ifti hanya mengangguk. Nak cakap itu aje ke?

“Err..Yanie….” belum habis Qairil nak cakap suara Mak Ngah melaung memanggil anak tunggalnya ini. Kelam kabut si Doktor Qairil ni melangkah ke kereta. Awat macam mamat sengal je Qairil ni. Nak kata otak tiga suku, cerdik sampai jadi doktor. Pelik…pelik…. Aku dan kak Ifti hanya melambaikan tangan pada kereta Pak Ngah yang sudah bergerak.

“Qairil tu macam nak cakap sesuatukan?” soalku kepada kak Ifti. Kak Ifti hanya mengangkat bahu.

“Entah. Dia tu pendiam sangat. Mana orang nak tahu yang dia tu nak apa.” Kak Ifti bercakap sambil melangkah masuk ke dalam.

“Orang cerdik selalu pelikkan,” ngomelku sendiri. Entah kak Ifti dengar ke tidak. Aku mencapai majalah yang ditinggalkan Pak Ucu tadi. Katanya itu majalah bulan lepas.

“Manusia semuanya pelbagai ragam. Orang kaya, tapi playboy. Memang lumrah orang kaya macam ini agaknya. Tukar perempuan macam tukar kain baju. Mentang-mentang dia kaya, semua dia boleh buat,” bebelku geram. Majalah di tangan kembali ditutup.

“Apa yang Yanie bebel tu? Pot..pet..pot…pet…” kak Ifti sudah menghampiriku.

“Ini… Dalam majalah ni ada kisah jutawan muda tu. Popular sebab scandal merata-rata. Memang dasar playboylah,” bebelanku kembali bersambung. Kak Ifti membaca majalah yang kutunjuk.

“Tapi, dia bukan popular sebab scandal je. Tengoklah kejayaan dia mendapatkan projek berjuta-juta. Kalau tidak takkanlah dia jadi jutawan.” Kak Ifti memandangku dengan senyuman kecil.

“Seronok betul jadi orang kayakan. Nak buat apa pun boleh.” Aku membuka peti televisyen. Malas mahu berbicara tentang jutawan muda yang tidak ada kaitan denganku.

“Kalau nak kaya juga, kahwinlah dengan si Izzad Daniel ni,” seloroh kak Ifti. Aku mengerutkan kening.

“Siapa Izzad Daniel?” soalku sambil merenung kak Ifti yang tersengeh.

“Tadi dia sedap-sedap mengutuk orang tu. Takkan tak tahu nama.” Kak Ifti mengetuk lenganku dengan majalah.

“Ooh… si jutawan playboy. Nama dia Izzad Daniel ke? Hmm…nama sedap. Perangai je yang tak sedap. Nak buat suami, berkali ganda tak sedap.” Aku ketawa sendiri dengan bicaraku.

“Ada-ada je Yanie ni. Sedap betul mulut tu mengata orang. Mahu tersedak si jutawan ni dekat KL tu.”

Ketawaku makin kuat mendengar bicara kak Ifti. Kalau tersedak padan muka!

…………………

Izzad memegang tekaknya yang terasa perit akibat tersedak jus tembikai. Nak meleleh air matanya. Adam menepuk-nepuk belakang Izzad yang mukanya sudah bertukar merah. Nasib baik perbincangan dengan Datuk Onn tadi sudah tamat. Kalau tidak mahu malu setaman sebab tersedak.

“Kau okey ke tak ni?” Adam menghulurkan air mineral kepada Izzad.

“Sakit tekak aku. Siapalah yang duduk mengutuk aku ni?”

“Entah-entah kau punya teman-teman wanita kot. Iyalah, diorang frust dah lama tak keluar dengan kau, sebab itu diorang kutuk kau.” Adam menyimpul senyum. Nak ketawa pun ada melihat raut wajah Izzad.

“Kau kalau nak gelak, gelak ajelah. Tak payah nak cover,” geram Izzad bersuara. Terburai juga ketawa Adam.

“Relax bro. Sesekali kena kutuk best juga. Selalu orang puji-puji kau,” canda Adam lagi.

“Best kepala hotak kau. Tekak aku sakit ni. Confirm aku batuk-batuk nanti.” Izzad meneguk lagi air mineral.

“Kalau batuk kita pergi klinik.” Adam sudah bangun mahu pulang. Izzad turut bangun. Dalam hatinya mendongkol marah kepada siapa yang mengutuknya.

~bersambung..

13 ulasan:

Nurfazila Suhaide berkata...

haha...tersedak Izzad kena kutuk..

umi kalsom berkata...

haha... tu dia, penangan kutukan yanie, smpai tersedak si Izzad.

lagi2. :)

just KD berkata...

blom jmpe lg tu!..hik hik hik..

BlueApple berkata...

ble dorang nk b'jumpe?hehe

aya berkata...

nak lagi..xsabar!

Tanpa Nama berkata...

heee~ best! best! best! kak pipah! sambung lagi! ^^

-kleo-

Iman Kyuhee berkata...

best gile cite ni kak! haha... smbung la lgi. =)

Yu-Yu berkata...

best!!
xsbr nk tnggu dorang bjumpe..hehe

Hafzan Sarah berkata...

izzad ni muka mcam donghae ke??
aduhh xdpat bayangkan betapa hensemnyaa..hheehe

Nurf berkata...

blom jumpe dah mengutuk bagai....kalo dah jumpe camne laa...;)

fyda berkata...

hahaha..
sian izzad.xpepasal tersedak..
oww..
diala ek mr jutawan kite 2..
xsabar nak tggu cemane agaknye bila yani jmpe org yg dikutuknye 2..

Wild Cherry berkata...

Qairil tu mcm suke kt yani je...
dasat btol yani ni smpai tersedak encik jutawan kita tu...

Afifah Yusof berkata...

terima kasih banyak semua yang sentiasa menyokong :)