Selasa, 18 Oktober 2011

Cerpen : Isteri TAKUT lelaki


“Mak! Tolong Irin,mak!” jerit Irin sambil membuka mata. Nafasnya ditarik dalam. Wajah yang sudah dibasahi peluh dilap dengan tapak tangan. Irin memandang sekeliling. Matanya memandang jarum jam yang sudah menunjukkan ke angka 3 pagi.

“Tolong Irin,mak.”tangisnya. Air mata yang cuba ditahan mengalir jua. Badannya bergetar kerana menangis. Azwa,rakan sebilik Irin tiba-tiba bangun dan membuka lampu. Perlahan-lahan Azwa menghampiri Irin yang sedang menangis memeluk lutut.

“Kau mimpi buruk lagi ke?” Azwa duduk dan memeluk erat Irin. Seperti malam-malam yang sudah,sahabatnya itu sering meracau-racau dalam tidur. Risau pula Azwa memikirkan masalah si Irin.

“Aku takut. Aku takut…” dan ayat inilah juga yang sering keluar dari mulut Irin.

“Kau nak takutkan apa? Kau cuma bermimpi je tadi. Istighfar. Ingat Allah. Mimpi ni cuma mainan tidur.”

Irin mengelap air matanya. Entah sampai bilalah dia akan terus dihantui kenangan masa silamnya. Kerana kenangan itulah dia sekarang menjadi fobia dan takut dengan golongan yang bernama lelaki. Walaupun dengan abangnya sendiri!

“Pergilah sambung tidur. Esok kitakan kelas pagi.” Azwa sudah bangun berdiri. Selimut Irin ditarik hingga menutup paras dada gadis itu.

“Thanks Azwa.”

“No hallah. Tidur tau. Jangan nak fikir apa-apa lagi.”

Lampu bilik kembali ditutup. Mata Irin terkebil-kebil memandang syiling. Azwa sudah membaringkan badan. Tanpa pamitan air matanya mengalir lagi. Irin menarik selimut hingga menutup muka. Tidak mahu tangisannya menganggu Azwa buat kedua kalinya. Kenangan dulu sentiasa menghantui dirinya. Kenangan 16 tahun dulu.

“Irin! Jangan main jauh-jauh tau.” Laung Puan Fatimah dari anjung rumah. Anak perempuannya yang berusia 6 tahun itu hanya mengangkat ibu jari menunjuk tanda bagus. Puan Fatimah menggeleng sambil tersenyum.

“Irfad nak ke mana tu?” soal Puan Fatimah bila melihat anak sulungnya turun dan naik ke atas basikal. Yang sulung ni pula sudah berumur 10 tahun.

“Orang nak pergi taman. Nak main bola.”

“Hmm…iyalah. Jangan balik lambat pula tau.” Pesan Puan Fatimah.

“Baik,mak. Orang pergi dulu ye.” Irfad mengayuh basikalnya keluar dari kawasan rumah.

“Budak-budak mana?” Puan Fatimah terus berpaling bila suara suaminya menyapa gegendang telinga.

“Dah keluar,bang. Semua pergi main.”

Encik Mursyid hanya mengangguk. Dia merupakan suami kedua kepada Puan Fatimah yang sudah kehilangan suami 3 tahun dulu. Nasib baik anak-anak isterinya menerima dirinya seadanya seperti bapa mereka sendiri.

“Dah besar budak berdua tukan.”Encik Mursyid bersuara perlahan.

“Aah..kejap je masa berlalu.” Puan Fatimah sudah berhenti mengemas. Dia berjalan perlahan untuk masuk ke dalam rumah.

“Jadi ke awak nak ke rumah kak Munah,esok?” tanya Encik Mursyid sambil melabuhkan punggun di kerusi.

“Jadi. Saya pergi petang besok. Kalau tak sempat balik,saya balik esok paginya. Betul ke awak tak nak ikut,bangnya?”

“Hmm…kalau pergi pun saya bukannya buat apa. Kakak awak tu,bukannya sukakan saya ni.” Jauh hati sahaja suara Encik Mursyid. Puan Fatimah hanya tersenyum.

“Jangan cakap macam tu. Kak Munah tu,bukannya tak sukakan abang. Dia belum biasa lagi.”

“Iyalah,tu. Dari mula kita kahwin,dia memang dah tak sukakan saya ni. Garang aje,mukanya.” Tergelak Puan Fatimah dengan bicara suaminya.

“Tak apalah kalau abang tak nak ikut. Budak-budak saya tak bawa. Takut mereka nak bermain.”

“Pandailah saya menjaga si Irfad dan Irin tu.” Janji Encik Mursyid.

“Terima kasih bang sebab terima anak-anak saya.” Sayu sahaja suara Puan Fatimah. Encik Mursyid mengenggam tangan si isteri.

“Anak awak,anak saya juga.” Encik Mursyid tersenyum manis. Lega hati Puan Fatimah. Pilihan hatinya tidak salah.

……………………………..

“Mak pergi dulu. Irin dengan Irfad duduk elok-elok dengan ayah tau.” Pesan Puan Fatimah.

“Baik,mak. Balik nanti mak jangan lupa beli cokelat untuk Irfad dan Irin ye,”pinta Irfad dengan sengihan lebar.

“Iyalah. Janji Irfad dengan Irin jangan nakal-nakal.”

“Okey,mak.” Janji Irin kuat. Semua yang ada tersengeh. Puan Fatimah berlalu dengan menaiki kereta Encik Mursyid. Encik Mursyid akan menghantar isterinya di stesen bas. Rumah kak Munah tidaklah jauh mana. Dalam sejam sudah sampai.

“Abang nak pergi taman.” Beritahu Irfad sambil memegang handle basikal.

“Orang nak ikut juga. Kawan orang pun ajak main dekat taman.” Beritahu Irin. Irfad mencebik.

“Orang main dekat taman,dia pun nak.” Ejek Irfad. Irin menjelirkan lidah.

“Ikut suka oranglah.” Irin membalas. Dia menjerit bila Irfad menarik rambutnya yang diikat tocang.

“Sakitlah! Orang beritahu mak nanti baru tahu. Baru padan muka,abang.” Ugut Irin.

“Beritahulah. Abang tinggal Irin dekat sini. Pergi taman sorang-sorang.” Selepas bercakap Irfad terus mengayuh basikalnya. Irin menjerit-jerit sambil mengejar basikal abangnya.

“Abang jahat! Orang cerita dekat mak nanti.” Irin sudah berhenti berlari. Dia duduk di atas tanah sambil menangis. Cuak muka Irfad. Dia mengayuh basikal menghampiri adiknya. Bahu adiknya dipeluk.

“Abang minta maaf.” Pinta Irfad. Irin hanya diam sambil menangis.

“Abang belanja Irin gula-gula nak?” pujuk Irfad lagi. Irin mengangkat muka.

“Janji!” ujar Irin sambil mengangkat jari kelingking.

“Irin pun janji jangan nangis dan jangan beritahu mak. Baru abang belanja gula-gula.”

“Okey…” Jari kelingking mereka bertaut. Masing-masing tersengeh.

…………………………

“Irin..Irin…” panggil satu suara. Irin mengangkat muka. Wajah Azwa yang sedang memandangnya dipandang pelik. Azwa ke yang panggil?

“Kau menungkan apa tu? Dari tadi kau diam je.” Ujar Azwa sambil menghirup minumannya.

“Err..tak ada apalah. Aku teringatkan abang aku.” Irin menjawab perlahan. Kenangan dia sebelum kejadian hitam itu berlaku memang indah. Dia masih boleh bergelak tawa dan bergurau senda dengan abangnya. Tapi….selepas kejadian itu,dia semakin takut. Takut dengan yang bernama lelaki.

“Tengok! Termenung lagi.” Suara Azwa memecah gegendang. Irin tersenyum kecil.

“Kau dah habis minum ke? kalau dah,jom kita balik. Aku nak kemas baranglah.” Ajak Irin. Azwa hanya mengangguk perlahan.

Mereka berjalan pulang ke asrama. Minggu ini mereka akan pulang ke kampung masing-masing setelah habis final exam. Ini bermakna,mereka sudah berjaya menamatkan pengajian mereka selama 3 tahun di sini.

“Entah bila kita akan berjumpa lagikan,”keluh Azwa sambil membaringkan badan di atas katil.

“Nanti bila kita nak minta kerja,kita mintalah tempat yang sama.” Saran Irin.

“Hmm..okey juga. Dapat tak dapat tu,belakang hal. Janji,kita apply sama-sama.”

“Aku mesti rindu pada kau nanti.”perlahan suara Irin. Selama ini,Azwalah yang banyak membantu dan menyokongnya.

“Jangan cakap kau je. Aku pun sama. Aku akan rindukan kau sangat-sangat. Aku harap kau tabah. Aku doakan suatu hari nanti,fobia kau pada lelaki ni akan hilang. Aku kesian dengan kau. Aku sedih setiap kali tengok kau menangis sebab mimpi benda yang sama. Aku sedih bila kau dikatakan sombong oleh lelaki di kelas kita. Sampai ada yang tuduh kau lesbian. Mereka tak tahu pasal kau,sebab tu mereka cakap macam tu. Aku sedih….aku kawan kau dan aku rasa apa yang kau rasa tu. Sakit kau sakitlah aku.”Azwa memeluk erat Irin. Kedua-duanya mengalirkan air mata.

“Aku tak tahu macam mana nak hilangkan perasaan takut ni. Aku…” Irin teresak menangis.

“Banyakkan berdoa. Hanya pada Allah tempat kita meminta. Berdoalah pada Allah supaya kau diberikan kekuatan. Aku juga akan turut mendoakan kau. Aku nak kau bahagia.”

“Terima kasih Azwa. Aku tak tahulah macam mana nak balas jasa kau pada aku. Kau terlalu baik. Aku berterima kasih sangat.”

“Kita kawan. Tiada makna berkawan kalau aku tak boleh bantu dan support kau. Kita akan kawan selamanya. Kau kena ingat tu,kita kawan sampai bila-bila.”

“InsyaAllah. Thanks again,Azwa.”

…………………….

Lama Irin berdiri di depan pintu rumahnya. Berbelah bahagi mahu mengetuk atau tidak. Rasanya,sepanjang sem akhir ni dia tidak ada pulang ke rumah. Seingatnya,hampir 6 bulan. Keadaan rumahnya masih masa. Dia juga selalu berhubung dengan maknya.

“Assalamualaikum….” Laung Irin. Beg bajunya diletakkan di anjung rumah. Rumah yang penuh dengan kenangan.

“Waalaikumusalam. Ya Allah,Irin! Irin anak mak.” Puan Fatimah terus memeluk badan Irin yang kecil itu.

“Mak apa khabar?”

“Alhamdullilah. Bila Irin sampai? Kenapa tak telefon mak? Boleh mak suruh Irfad ambil Irin di stesen.”

“Tak apalah,mak. Lagipun,Irin dah sampai nikan. Err..abang mana mak? Dia ada dekat rumah ke?”

“Irfad belum balik kerja lagi. Selalunya,dekat maghrib baru dia sampai rumah.” Puan Fatimah memandang raut wajah Irin yang sudah berpeluh. Panas ke? Atau….

“Mak tanya Irin sesuatu boleh? Kalau Irin sayangkan mak,jawab dengan jujur. Irin masih ingat kejadian dulu tu ke? Irin masih dihantui dengan kenangan dulu tu ke? Irin masih takut dengan lelaki ke?” soal Puan Fatimah bertubi-tubi. Lihat mata Irin yang merah,dia sudah dapat jawapannya. Puan Fatimah terus memeluk badan Irin erat. Anaknya itu sudah menangis.

“Mak minta maaf. Mak yang bersalah.” Puan Fatimah juga sudah menangis.

“Bukan salah mak. Irin tak pernah salahkan mak. Irin sayang mak. Cuma…cuma…Irin memang tak boleh lupa benda tu. Benda tu macam dah melekat kuat dalam fikiran dan hati Irin. Irin akan ingat kejadian tu setiap kali Irin dekat dengan lelaki. Irin sedih mak. Irin tak kuat. Tolong Irin mak.” Ngongoi Irin. Dia sudah penat menangis. Ya Allah,Kau kuatkanlah hambaMu ini.

“Anak mak…..tabahlah,Irin. Mak sentiasa mendoakan yang semua kejadian hitam tu akan pergi dari hidup anak mak. Irin berhak untuk bahagia. Mak nak tengok anak-anak mak rapat macam dulu semula.”

“Irin minta maaf,mak. Bukan Irin sengaja nak membenci abang,tapi…..Irin akan ingat benda tu bila tengok muka abang. Walaupun bukan abang yang bersalah,abang tetap lelaki. Irin akan terbayangkan lelaki jahat tu. Dia jahat,mak. Irin sakit….sakit sangat….” Irin terjelopok jatuh. Puan Fatimah terkejut. Mata Irin yang terpejam makin merisaukan hatinya.

“Irin….bangun nak. Jangan buat mak macam ni. Bangun,Irin.” Puan Fatimah menepuk-nepuk pipi Irin namun,tiada reaksi. Cepat-cepat Puan Fatimah menelefon anak sulungnya.

“Kenapa mak?” suara Irfad menyoal di hujung talian.

“Irin pengsan. Adik kamu ni pengsan. Balik cepat Irfad.” Puan Fatimah bersuara lancar. Hatinya cuba disabarkan.

“Bila Irin sampai? Err….orang balik sekarang. Mak tunggu tau.” Talian terus dimatikan. Puan Fatimah memeluk erat Irin yang terbaring lesu.

‘Maafkan mak,Irin. Kalaulah mak tak berkahwin dengan lelaki jahat tu dulu,semua ni takkan terjadi. Maafkan mak.’ Detik hati Puan Fatimah.

Hampir 10 minit,kereta Irfad kelihatan semakin menghampiri. Puan Fatimah masih memangku anaknya di anjung rumah. Kerana rumah mereka agak jauh dari jiran yang lain,agak sukar untuk mereka sekeluarga meminta tolong.

“Maaf,mak. Orang lambat. Orang bawa kawan orang sekali ni. Dia doktor.” Terang Irfad. Puan Fatimah hanya tersenyum tawar kepada rakan anaknya.

“Bawa adik kau ni masuk dalam.” Kedengaran suara kawan Irfad mengarah. Irfad terus mencempung adiknya masuk ke dalam. Kawan Irfad pula membantu Puan Fatimah bangun dan masuk ke dalam rumah.

“Aku letak dia atas katil dalam bilik. Kau checklah dia.” Irfad memukul lembut bahu kawannya. Si kawan hanya mengangguk dan melangkah ke bilik. Irfad dan Puan Fatimah mengikut dari belakang.

“Boleh aku….?” si kawan menunjukkan pergelangan tangan Irin sambil memandang Irfad. Tandanya dia mahu meminta izin untuk menyentuh pergelangan tangan gadis itu. Irfad mengangguk laju. Kawannya bukan ada niat lain. Kalau berniat mahu merawat pesakit hukumnya harus. InsyaAllah.

Dengan berhati-hati si kawan memegang pergelangan tangan Irin untuk memeriksa nadi. Lama tangan si kawan melekap di situ. Mungkin sedang mengira denyutan nadi. Kemudian,si kawan membuka mata Irin satu persatu.

“Adik kau ni nadinya lemah. Macam tak cukup makan dan kurang minum air. Badan dia sangat lemah. Aku akan bagi vitamin dan ubat tidur. Dia perlukan rehat yang secukupnya.” Si kawan bangun berdiri. Puan Fatimah pula mengambil tempat di sebelah Irin.

“Anak mak cik akan pulih ke?” suara Puan Fatimah kedengaran sebak.

“Keadaannya tak serius. Mak cik jangan risau. Macam yang saya cakap tadi,dia perlukan banyak rehat. InsyaAllah,semuanya akan pulih.” Si kawan menjawab sopan. Irfad meraup mukanya. Terima kasih Ya Allah.

“Terima kasih. Apa namanya? Mak cik tak sempat tanya tadi.” Puan Fatimah tersenyum kepada doktor muda itu.
“Saya Aakif.” Si kawan memperkenalkan diri.

“Aakif duduk dululah. Mak cik buatkan air. Irfad,ajak Aakif duduk di depan sementara mak buat air.” Puan Fatimah sudah bangun berdiri. Nak ke dapurlah tu.

“Tak apalah,mak cik. Jangan susah-susah.” Tolak Aakif.

“Susah apanya. Bukannya mak cik nak pergi beli minuman tu. Dah ada dekat dapur je pun. Kamu pergi duduk dulu.” Puan Fatimah melangkah keluar. Irfad menepuk perlahan belakang Aakif isyarat supaya mereka keluar dari bilik itu. Aakif hanya menurut.

“Aku tak tahu pula kau ada adik perempuan.” Aakif memulakan bicara. Dia memandang Irfad yang hanya diam memandang lantai.

“Kau tak tanya,”seloroh Irfad. Dia tersenyum tawar.

“Aku belasah kau karang. Aku cakap betul-betul ni.” Aakif tersenyum sumbing. Bahu Irfad ditumbuk.

“Salah ke aku cakap. Betullah,kau tak ada tanya pun. Takkan aku nak tiba-tiba cerita yang aku ada adik perempuan.” Irfad menjawab dengan seulas senyuman di bibir. Aakif tersenyum malu. Iya tak ye juga.

“Berapa umur adik kau tu?” soal Aakif separuh berbisik.

“Hmm..umur dia. Dah 22 tahun ni. 4 tahun lagi muda dari aku,”jawab Irfad. Puan Fatimah menghampiri dengan membawa dua cawan minuman.

“Jemput minum,Aakif,”pelawa Puan Fatimah.

“Terima kasih mak cik.”

Puan Fatimah bangun dan beredar masuk ke dalam bilik. Mungkin mahu melihat anak perempuannya.

“Dah ada boyfriend ke?” soal Aakif bila dirasakan yang Puan Fatimah sudah tidak kelihatan.

“Siapa?” soal Irfad dengan mata membulat.

“Adik kaulah. Siapa lagi.” Jawapan Aakif membuatkan Irfad terdiam. Satu keluhan kecil dilepaskan.

“Kenapa kau mengeluh?” Aakif memandang pelik wajah Irfad yang tiba-tiba mendung. Aku salah cakap ke?

“Itulah masalahnya. Dia tak mungkin ada teman lelaki sebab dengan aku pun dia takut.” Irfad bersuara perlahan.

“Apa kau cakap ni,Fad?”

“Aku serba salah nak cerita. Tapi,aku dah lama pendam benda ni. Aku kesian dengan adik aku tu. Tak pasal-pasal dia takut dengan lelaki. Aku,abang kandung dia pun,dia jadi takut.”

“Wait a minute. Kau cakap pasal apa ni? Aku peninglah.” Aakif membetulkan duduk. Kali ini dia betul-betul menghadap Irfad. Mahu mendengar cerita si sahabat.

“Adik aku tu……….”

“Irfad! Irin dah sedar ni,”jerit Puan Fatimah dari dalam. Ayat Irfad tergantung di situ. Irfad dan Aakif terus bangun dan melangkah masuk ke dalam bilik. Irin sudah membuka mata.

“Awak rasa macam mana,sekarang?” soal Aakif sambil memandang Irin. Dia berdiri di tepi katil. Irin terus mengesotkan badan dan terus memeluk ibunya. Mukanya disembamkan di dada Puan Fatimah. Badannya menggeletar. Aakif memandang Irfad yang berdiri di tepinya.

“Aku rasa baik kita keluar dulu,”ajak Irfad. Aakif hanya menurut. Sempat matanya memandang ke arah Irin yang berada di dalam pelukan ibunya.

“Aku minta maaf pasal kelakuan adik aku tu.”

“Dia kenapa? Tiba-tiba dia menjarakkan diri and…………..”ayat Aakif tidak habis bila Irfad mencelah.

“Itulah yang aku nak cakap tadi. Adik aku tu takut lelaki. Sedangkan aku abangnya pun dia takut,inikan dengan kau. Lelaki yang dia tak kenal.”

“Takut lelaki? Kenapa? Habis,dia layan kau macam mana? Takkan korang tak bercakap langsung?”

“Bukannya tak bercakap langsung. Ada,tapi jarang sangat. Bila ada something yang penting je dia akan bercakap dengan aku. Itupun,duduknya berjarak . Dia akan duduk sekali dengan aku bila mak aku ada. Kalau tidak jangan harap. Dia akan kunci diri dia dalam bilik. Masa kecik,aku rapat gila dengan dia. Aku tak dapat terima hubungan kami renggang kerana hal itu. Kerana lelaki tak guna tu adik aku jadi macam ni.” Irfad meraup mukanya. Kenangan dulu masih segar diingatannya.

“Apa sebenarnya yang dah jadi? Siapa lelaki yang kau maksudkan tu? Dia buat apa pada adik kau?” Aakif bersuara serius. Entah kenapa,sakit hati benar dia mendengar cerita Irfad. Apa yang telah terjadi kepada adik sahabatnya?

“Lelaki tu ayah tiri aku….”

~ Flashback..

“Irin,abang pergi dulu. Duduk rumah elok-elok tau.” Irfad membetulkan beg sekolahnya. Irin tidak ke sekolah kerana berasa tidak sihat. Ibu mereka pula tiada kerana bermalam di rumah saudara bagi membantu persiapan kenduri.

“Hmm..” hanya itu jawapan Irin. Kepalanya sakit.

“Ayah! Orang nak pergi sekolah dah ni.” Laung Irfad sambil memandang sekeliling. Tiada balasan dari ayah tirinya.

“Ayah dah keluar kot.” Irin bersuara lemah. Dia seperti mahu menangis kerana badannya sakit.

“Irin jangan nangis ye. Kejap lagi ayah baliklah. Nanti Irin suruh ayah bawa pergi klinik tau,”pesan Irfad. Ikutkan hati dia malas mahu ke sekolah kerana tiada yang menjaga adiknya. Tapi,dia ada peperiksaan akhir tahun. Nak tak nak kena pergi juga. Adiknya pula tiba-tiba aje demam. Semalam elok sahaja.

“Abang pergilah sekolah..” Irin memandang Irfad. Abangnya hanya mengangguk dan melangkah pergi. Irin memejamkan mata. Dia mahu tidur.

“Betul ke anak-anak tiri abang tak ada di rumah ni?” suara seorang perempuan kedengaran. Irin membuka mata. Terpisat-pisat matanya digosok. Kepalanya terasa berat. Suara mak ke?

“Betul. Budak berdua tu sekolah.” Suara Encik Mursyid pula kedengaran.

Selepas itu Irin mendengar suara gelak ketawa ayah tirinya dan suara perempuan. Biliknya hanya bersebelahan dengan bilik ibu dan ayah tirinya. Irin cuba bangun. Perlahan-lahan dia melangkah keluar. Pintu bilik ayah tirinya sedikit renggang, Irin terus tolak kerana dia ingatkan suara perempuan itu adalah suara maknya. Dia mahu maknya sekarang! Kepala dan badan yang sakit tidak dihiraukan.

“Mak!” panggil Irin. Matanya memandang ayah tirinya dengan seorang perempuan sedang baring di atas katil. Irin terus menangis.

“Hoi! Kenapa kau ada dekat sini? Kau tak pergi sekolah ke?” jerkah Encik Mursyid. Makin kuat tangisan Irin. Ayah tirinya tidak pernah meninggikan suara seperti itu. Encik Mursyid bangun dan menarik tangan Irin.

“Aku tanya kau ni?” makin kuat suara Encik Mursyid.

“Oo..oo..orang d..e..de..demam,”jawab Irin teresak-esak. Encik Mursyid menolak Irin ke atas lantai.

“Kau nampak apa,ha?” soal Encik Mursyid lagi sambil mencengkam pipi dan dagu Irin yang sedang menggeletar.

“Oo..or..orang nak m..mak,”ucap Irin dalam sendu. Air mata dan air liurnya sudah meleleh keluar.

“Aku tanya kau nampak apa,ha?” kali ini Encik Mursyid memukul kepala Irin. Makin kuat Irin menangis. Perempuan yang masih di atas katil hanya mendiamkan diri. Irin menggelengkan kepala berkali-kali. Mukanya sudah merah. Kepala terasa semakin berat.

“Kau jangan cerita pada mak kau. Faham tak?” Encik Mursyid menarik rambut Irin. Terangkat-angkat kepala anak kecil berumur 6 tahun itu. Irin masih menggelengkan kepala.

“Ss..sakit. ke…kepala orang sakit. Ayah..orang sakit. Bb..badan orang sakit,”Irin meminta belas kasihan ayah tirinya.

“Kecik-kecik tak nak mampus! Dah besar nak menyusahkan orang.” Encik Mursyid mengheret Irin ke bilik anaknya itu. Badan Irin sekali lagi ditolak kasar di atas lantai.

“Duduk dalam ni. Tidur! Ingat,kau jangan cakap apa-apa pada mak kau. Kalau kau cakap,siap kau aku kerjakan.” Encik Mursyid terus berlalu dan menghempas pintu bilik. Irin merangkak naik ke tilamnya. Air matanya meleleh semakin deras.

“Tolong Irin,mak! Irin sakit!”rintihnya. Pandangannya semakin lama semakin kelam.

“Macam mana boleh jadi macam ni?”suara Puan Fatimah kedengaran. Irin membuka mata walaupun pedih. Mak!

“Orang tak tahu. Tadi Irin kata badan dan kepala dia sakit. Orang rasa dia demam.” Suara Irfad menjelaskan.

“Irin ni demam. Sebab tu badannya sakit-sakit. Tadi,saya dah bawa dia ke klinik. Doktor kata tak ada apa-apa yang serius pun.” Suara Encik Mursyid pula kedengaran. Kali ini lembutnya bukan main. Lembut gigi dari lidah! Irin terpandangkan sorotan mata ayah tirinya. Sorotan mata amaran!

“Mak….”panggil Irin lemah. Dia terus memeluk Puan Fatimah dan menangis.

“Kesian anak mak,ni. Demam ye. Irin kena makan ubat tau. Baru cepat sihat,”pujuk Puan Fatimah lembut. Dia mengusap kepala Irin. Tangannya terhenti pada kesan lebam di hujung dahi anaknya.

“Kenapa ni Irin? Macam mana boleh lebam ni?” soal Puan Fatimah gusar.

“Aaa…”baru Irin mahu menjawab,Encik Mursyid sudah menyampuk.

“Irin terjatuh tadi masa nak pergi klinik. Terhantuk kerusi.”

“Ya Allah. Lain kali hati-hati sikit.” Puan Fatimah kembali memeluk Irin.

“Dahlah. Mari kita keluar. Bagi si Irin ni berehat. Kesian dia.” Encik Mursyid mengajak Puan Fatimah keluar. Isterinya hanya mengangguk. Irin kembali dibaringkan.

“Irin….”panggil Irfad. Dia menghampiri adiknya yang menutup muka dengan selimut. Badan adiknya menggeletar.

“Irin…”Irfad menarik selimut yang menutup muka Irin tetapi tidak berjaya.

“Abang keluar dulu ye. Kalau Irin nak apa-apa,panggil je abang.” Irfad melangkah keluar. Irin menangis di dalam selimut. Irin takut!

“Tolong Irin,mak! Tolong Irin!” Irin meracau dalam tidur. Puan Fatimah yang kebetulannya terjaga dari tidur terus bangun berdiri. Kakinya laju melangkah ke bilik sebelah.

“Irin..bangun nak!” Puan Fatimah mengejut Irin. Badan anaknya semakin panas. Irin membuka matanya yang mengalir air hangat. Badannya benar-benar sakit.

“Mak….”bergetar suara Irin. Puan Fatimah menyelak selimut Irin. Dia mahu menukar baju anaknya yang sudah basah dengan peluh. Terpana Puan Fatimah apabila melihat badan anaknya terdapat kesan lebam. Dapat dari mana ni? Irin melentokkan kepalanya di bahu Puan Fatimah. Segera si ibu menyarung pakaian baru. Irin dipeluknya erat. Kesan lebam tadi menganggu fikirannya. Akhirnya dua-dua terlena.

“Mana ubat si Irin ni?” pagi-pagi lagi rumah mereka sudah kecoh dengan suara Puan Fatimah. Dia mencari ubat demam anaknya tapi tidak berjumpa.

“Apa bising-bising ni?” Encik Mursyid melangkah ke dapur.

“Mana ubat Irin? Katanya dah ke klinik semalam.” Suara Puan Fatimah kedengaran risau. Encik Mursyid menggaru kepala.

‘Mana ada aku bawa budak tu ke klinik. Nak cekau ubat dari mana?’detik hati Encik Mursyid.

“Err…ubat tu saya tak ambil sebab kena bayar dulu. Saya tak bawa duit semalam. Saya ingat nak ambil ubat tu hari ni,”kelentong Encik Mursyid. Beristighfar Puan Fatimah.

“Kenapa abang tak cakap semalam? Biarlah saya pergi ambil kejap lagi. Abang pergi klinik mana?”

“Err…klinik Rahmat. Yang dekat tepi kedai gunting tu. Tak apalah,abang pergi ambil nanti.” Puan Fatimah mengangguk.

“Jangan lupa pula tau,bang.” Pesan Puan Fatimah. Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu. Kesan lebam pada badan anaknya!

“Abang ada buat apa-apa ke pada Irin?” soal Puan Fatimah serius.

“Bb..buat apanya? Awak jangan nak menuduh saya pula. Saya sayang budak Irin tu.” Encik Mursyid cuak! Puan Fatimah meraup mukanya.

“Tak ada apalah. Saya minta maaf sebab tuduh abang.” Puan Fatimah mencium tangan Encik Mursyid.

…………………….

“Hoi! Kau mengadu apa pada mak kau! Kan aku dah cakap semalam jangan cakap apa-apa. Kau ni memang budak degillah!” Encik Mursyid menarik tangan Irin yang sedang berehat. Irin terus menangis. Puan Fatimah baru keluar untuk ke pasar dan Irfad ke rumah kawannya untuk meminjam buku.

“Ss..sakit. Irin sakit,ayah.” Tangis Irin lagi.

“Ini balasan untuk kau yang tak mendengar kata.” Encik Mursyid terus mencabut tali pinggangnya. Dilibas sekali pada badan kecil Irin. Menjerit sakit Irin dibuatnya.

“Cuba kau dengar cakap aku! Aku ni lelaki! Aku boleh buat apa yang aku suka pada kau,mak kau dan abang kau! Aku ni ketua keluarga. Kau jangan berani nak lawan aku! Kau belum rasa lagi penampar aku! Kalau kau mengadu lagi,aku tampar muka kau tu. Faham tak!” jerkah Encik Mursyid kuat.

“Abang!” serentak itu juga kedengaran jeritan kuat dari luar. Encik Mursyid cuak bila melihat Puan Fatimah berada di muka pintu. Puan Fatimah meluru masuk. Badan Irin yang terbaring di atas lantai dipeluk.

“Tergamak abang pukul Irin. Tergamak abang pukul budak sekecil ini yang sedang sakit. Abang memang tak berhati perut! Abang kejam!” Puan Fatimah bangun dan memukul-mukul dada Encik Mursyid.

“Dengar dulu penjelasan abang.” Encik Mursyid cuba membela diri.

“Saya benci abang! Keluar dari rumah ni! Keluar sekarang!” jerit Puan Fatimah lantang.

“Ok! Aku pun dah tak nak duduk dengan janda dan anak-anak tiri yang tak guna ni! Lebih baik aku pergi duduk dengan Si Zainab. Ada juga hasilnya. Aku pun tak teringin dah nak duduk rumah buruk kau ni!” Encik Mursyid juga sudah menjerit. Pang!

“Ceraikan saya sekarang! Ceraikan saya!” jerit Puan Fatimah sambil duduk memeluk Irin yang sedang menutup telinga.

“Aku memang nak ceraikan kau pun. Baik! Dengar sini elok-elok. Aku ceraikan dikau Fatimah dengan talak tiga.” Dengan angkuh Encik Mursyid bersuara. Puan Fatimah mengalirkan air mata. Makin kuat pelukan dua beranak itu. Badan Irin semakin menggeletar.

“Ayah! Mak!” suara Irfad kedengaran di muka pintu. Irfad juga sudah tergamam. Dia dengar dengan jelas apa yang berlaku tadi. Dipandangnya Puan Fatimah dan Irin yang sedang berpelukan sambil menangis.

“Kenapa ayah buat mak macam ni!” marah Irfad. Encik Mursyid menolak Irfad hingga terduduk dan terus berlalu keluar. Irfad terus memeluk Puan Fatimah dan Irin.

………………………

“Lepas tu apa yang jadi?” soal Aakif sambil mengepal penumbuk. Panas hati betul mendengar cerita si Irfad.

“Aku dengar yang ayah tiri aku tu kena tangkap khalwat dengan perempuan mana entah. Sekarang aku tak tahu dia hidup lagi ke tak,”keluh Irfad.

“Kalau aku jumpa,memang aku tumbuk muka lelaki tak guna tu.” Aakif sudah bangun berdiri. Semangatnya lain macam sahaja. Irfad tersenyum kecil.

“Jangan kata kau aje. Aku kalau jumpa pun,mahu aku tibai jantan tu. Sebab dialah adik aku jadi macam ni sekarang. Aku rindukan adik aku yang ceria dan manja. Macam masa dulu.”

“Err..tapi,kenapa kau yang semangat sangat ni?” Irfad mengangkat kening. Aakif tersenyum kecil.

“Minta restu,bang.” Aakif terus bersalaman dengan Irfad yang terpinga-pinga.

“Restu apa pula ni,Kif? Geli aku dengar kau panggil aku abang. Kita sebaya lah,bro.” Irfad ketawa lucu. Wajah Aakif tetap serius.

“Aku nak jadi adik ipar kau boleh?” Aakif buat muka kesian. Irfad berhenti ketawa.

“Kau jangan nak memain,Kif.” Irfad pula yang serius.

“Aku serius ni. Aku dah jatuh suka pada adik kau. Bila aku dengar cerita kau tadi,lagilah aku kasihan. Aku nak tolong dia.”

“Kau ni betul sukakan adik aku atau kau kesiankan dia? Aku tak nak orang mainkan perasaan dia lepas apa yang dia dah lalui ni. Aku nak lelaki yang betul-betul sayangkan adik aku.” Tegas suara Irfad.

“Kau mesti ingat aku main-main kalau aku cakap aku dah jatuh suka sejak pertama kali aku tengok adik kau tadi. Walaupun masa tu dia tengah pengsan. Bila aku dengar cerita kau tadi aku jadi kasihan pada dia. Aku nak bantu dia hilangkan rasa takut tu. Aku nak kahwin dengan adik kau.” Suara Aakif juga serius. Irfad memicit dahi.

“Aku percayakan kau,Kif. Tapi,nak ke adik aku kahwin dengan kau?” soalan Irfad membuatkan kedua-duanya kelu. Iya tak ye juga! Irin kan takut lelaki. Kalau takut,macam mana nak kahwin?

“Kau pujuklah adik kau.”

“InsyaAllah. Kalau berjaya,kira jadilah ye.” Irfad bersalam dengan Aakif. Ya Allah,Kau permudahkanlah segalaNya.

…………………..

“Irin setuju ye,nak?” Puan Fatimah menggenggam tangan Irin yang sejuk. Irin hanya diam membisu. Irfad yang melihat menanti penuh sabar.

“Irin,abang harap Irin setuju dengan perkara ni. Aakif tu baik orangnya. Dia kawan baik abang. Dia nak bantu Irin keluar dari ketakutan ni.” Irin hanya memandang sekilas abangnya.

“Abang nak sangat tengok Irin senyum macam dulu. Abang nak sangat tengok Irin yang ceria dan yang manja dengan abang. Abang rindukan adik abang. Tolonglah kembalikan adik abang,” Irfad mengesat air matanya yang mengalir. Irin dan Puan Fatimah turut mengalirkan air mata. Akhirnya,Irin mengangguk setuju. Setuju untuk dikahwinkan dengan insan yang bernama lelaki!

……………………………….

Jam sudah menginjak ke angka 10 malam. Irin masih berada di dalam bilik Puan Fatimah. Hari ini dia sudah selamat bergelar isteri kepada lelaki bernama Aakif. Azwa yang hadir ke majlis tadi benar-benar terkejut kerana dia sudah berkahwin. Tetapi,bila diceritakan tujuan perkahwinan ini,barulah Azwa mengerti.

“Irin,pergilah masuk bilik tu. Kesian pada Aakif.” Puan Fatimah menepuk tangan Irin. Irin hanya menggeleng.

“Irin tak nak. Irin takut,mak. Irin nak tidur dengan mak.” Irin sudah hanyut dalam pelukan ibunya.

“Kalau macam tu,baik tak payah kahwin. Aakif tu berkahwin dengan Irin sebab nak bantu Irin sembuh dari ketakutan ini. Kalau tidur pun asing-asing,bila nak ada perkembangan. Lagipun,tak baik tinggalkan suami sorang-sorang. Pergilah. Irin perlu kuat hadapi semua ni,”pujuk Puan Fatimah.

“Dah macam nak pergi berperang pula,gayanya,”seloroh Irfad di muka pintu bilik. Puan Fatimah sudah tersenyum. Dia menganggukkan kepala kepada Irin menandakan suruh anaknya pergi kepada Aakif. Dengan berat hati Irin melangkah.

“Irin pasti boleh keluar dari ketakutan ini. Abang pasti.” Irfad menggosok perlahan kepala Irin yang sudah terpana.

“T..terima kasih,bang.”Irin tersenyum tawar. Sudah lama abangnya tidak menggosok kepalanya begitu. Semuanya kerana ketakutannya. Ya Allah,Kau bantulah hambaMu ini.

Pintu bilik dibuka. Tangan Irin terketar-ketar menutup pintu bilik kembali. Bilik hanya diterangi lampu jalan di luar rumah. Kelihatan Aakif sedang berbaring di atas katil. Mata lelaki itu sudah terpejam. Irin melangkah perlahan-lahan. Dia duduk di bucu katil sambil memeluk lutut.

“Tak nak tidur ke?” tiba-tiba kedengaran suara Aakif. Irin tersentak. Dalam kesamaran dia perasan yang lelaki itu sedang memandangnya. Irin mengensotkan badannya.

“Kalau awak pergi makin jauh,makin dekat saya akan datang,”seloroh Aakif. Dia ketawa kecil. Irin hanya diam. Dia benar-benar kekok dan tidak selesa. YA Allah,bantulah aku!

“Tidurlah. Saya takkan usik awak. Saya dah janji yang saya akan pulihkan ketakutan awak tu tapi,not tonight. Hari ni saya nak biar awak berehat dulu. Siapkan diri untuk hadapi apa yang bakal saya buat nanti. Good night.” Aakif terus memusingkan badan. Mahu tidur mungkin. Irin hanya menelan liur. Entah pukul berapa dia tertidur dalam keadaan duduk.

………………………

Perkahwinan antara Irin dan Aakif sudah berusia satu minggu. Ada beberapa perubahan yang nampak pada diri Irin. Kalau makan dia dah boleh makan semeja dengan Aakif walaupun tak bercakap. Dengan Irfad juga Irin sudah boleh berbicara panjang walaupun tidak berapa mesra.

“Irin! Irin!” laung Aakif sambil merebahkan badan di atas sofa. Beg dan kot putihnya diletakkan di atas meja. Irin yang berada di bilik melangkah perlahan dengan tangan yang menggeletar. Dia takut setiap kali ada orang melaungkan namanya begitu. Seperti ayah tirinya menjerkahnya!

“Aa..ada apa?” suara Irin terketar-ketar menjawab panggilan Aakif. Dia berdiri di tepi sofa dengan muka menghadap lantai. Kini,mereka hanya tinggal berdua di rumah milik Aakif. Lelaki itu yang mahu mereka berpindah. Nak tak nak Irin kena ikut bila mak dan abangnya juga bersetuju.

“Irin duduk dekat mana?” soal Aakif lembut. Tangannya meleraikan tali leher.

“Dalam bb..bilik.” suara Irin masih bergetar. Aakif perasan hal itu. Dia tersenyum kecil.

“Err…badan abang penatlah. Boleh Irin tolong urutkan?” pinta Aakif sambil tangan pura-pura mengurut tengkuknya. Irin terus mengangkat muka. Abang?

“Tak salahkan saya bahasakan diri abang. Lagipun,saya sama tua dengan Irfad. Boleh ye Irin panggil saya abang?” satu lagi permintaan Aakif.

“Boleh ke tak?” soal Aakif lagi. Kali ini matanya memandang tepat wajah Irin sehingga isterinya itu tertunduk. Irin hanya mengangguk.

“Abang nak dengar suara,”tukas Aakif. Irin mengetap bibir.

“Boleh…..”panjang jawapan Irin. Aakif tersenyum lebar.

“Hmm..yang pasal tolong urut abang,boleh ke tak?” sengaja Aakif menyoal lagi. Muka Irin sudah merah. Entah merah sebab marah ke sebab malu. Irin pantas menggeleng. Tidak sanggup! Aakif pura-pura mencerlungkan mata melihat reaksi isterinya.

“Tak boleh?” suara Aakif sengaja dikuatkan. Terhenjut bahu Irin. Mulalah dia rasa mahu menangis.

“Boleh ke tak?” Aakif sudah bangun berdiri menghadap Irin yang menunduk. Dalam keterpaksaan Irin mengangguk. Takut lelaki itu meninggikan suara lagi.

“Good. Kita nak urut dekat sini ke dekat bilik?” soal Aakif perlahan lebih kepada bertanya diri sendiri.

“Dekat sini ajelah. Abang nak Irin urut tengkuk abang. Lenguhlah. Nanti bila Irin dah biasa,baru abang minta urut satu badan ye.” Aakif tersengeh dengan kata-katanya sendiri.

Aakif duduk kembali disofa. Sengaja dia membuka butang bajunya hingga paras dada. Perlahan-lahan Irin berdiri di belakang Aakif. Lama Irin bermain dengan jarinya sendiri. Tidak tahu mahu bermula dari mana. Aakif mendongakkan kepala.

“Urutlah..”gesa Aakif. Dengan bacaan Bismillah Irin meletakkan tangannya ditengkuk Aakif. Perlahan-lahan dia memicit tengkuk suaminya.

“Mak ai! Sejuknya tangan.” Terlepas suara Aakif. Dia terus mencapai tangan Irin yang sedang mengurut tengkuknya. Ternyata Irin terkejut benar. Dia mahu menarik tangannya tetapi pegangan Aakif lebih kuat.

“Irin takut dengan abang ke?” sengaja Aakif menyoal. Dulu sewaktu majlis pembatalan air sembahyang juga tangan Irin sesejuk ini. Memang kritikal betul isteri aku ni!

“Lepaskan Irin,”pinta Irin sambil cuba menarik tangannya. Aakif tidak mengendahkan. Dia bangun dan menghampiri isterinya. Jarak mereka begitu hampir. Baru Aakif mahu memeluk Irin badannya sudah ditolak. Irin pantas menarik tangannya dan berlari masuk ke bilik. Aakif mengeluh.

…………………..

Prang!

Irin terjaga dari tidur. Matanya dipisat dengan tangan. Sejak berpindah dia duduk bilik yang berlainan dengan Aakif. Irin memandang sekeliling. Bunyi apa tu! Matanya memandang jarum jam. Sudah pukul 2 pagi. Bilik Aakif berada di tingkat atas. Irin duduk di bilik bawah yang dekat dengan dapur.

Prang! Sekali lagi bunyi kaca pecah mencemaskan Irin. Dia menarik selimut menutup muka. Dadanya berdetak kencang. Tiba-tiba ketukan di pintu biliknya mengejutkan Irin. Irin mengenggam erat selimut di tangan.

“Irin!” suara Aakif kedengaran bersama dengan ketukan di pintu. Irin membuka selimut. Teragak-agak dia berjalan untuk membuka pintu. Sebaik pintu dibuka,Irin melihat Aakif sedang berdiri sambil memegang tangannya. Wajah lelaki itu seperti menahan sakit. Pandangan mata Irin jatuh pada tangan kanan Aakif yang berdarah.

“Tangan awak tu kenapa?” soal Irin laju. Dia sudah terlupa untuk memanggil lelaki itu dengan panggilan abang.

“Terkena kaca. Boleh Irin tolong bersihkan darah ni?” pinta Aakif dan terus melangkah masuk ke bilik Irin. Irin masih tercengang di muka pintu. Wajahnya sudah mula dibasahi peluh. Takut melihat tangan suaminya penuh dengan darah dan takut dengan lelaki itu.

“Auww!” Aakif mengaduh sakit. Dia sudah duduk di atas katil Irin. Irin terus keluar ke dapur untuk mengambil First Aid.

‘Irin! Kuatkan diri. Aakif tu tengah sakit. Takkanlah kau tak nak tolong dia,’bicara hati Irin. Dia mengelap peluh di muka dengan tisu.

‘Cuba kikis rasa takut tu. Aakif tu suami kau. Dia tak jahat. Bukan semua lelaki jahat macam ayah tiri kau tu,’detik hati Irin lagi. Tangan Irin sudah memegang peti First Aid. Dia masih belum yakin untuk masuk ke bilik.

“Irin! Abang tengah sakit ni!” laung Aakif. Irin terkejut. Cepat-cepat dia melangkah ke bilik.

“Nah!” Irin menyerahkan peti First Aid kepada Aakif. Lelaki itu hanya menjeling dengan muka yang berkerut.

“Abangkan tengah sakit. Takkan nak buat sendiri.” Suara Aakif perlahan namun terselit nada geram. Geram dengan Irin yang masih kelihatan takut-takut. Geram kerana Irin tidak mahu menyentuhnya. Irin bermain dengan tangannya sendiri. Darah gemuruh datang lagi.

“Irin nak tolong ke tak ni?” Aakif sudah menguatkan suaranya. Darah sudah membasahi sapu tangan yang dari tadi digenggamnya. Dengan tangan terketar-ketar Irin memegang tangan Aakif. Dalam hatinya hanya Allah yang tahu. Debarnya seperti jantung mahu terkeluar. Tidak habis-habis Irin menelan air liur.

“Darah dah banyak sangat ni. Awak pergi basuh tangan dulu ye,”ujar Irin perlahan. Mukanya tidak diangkat dari tangan Aakif.

Tanpa banyak soal Aakif masuk ke dalam bilik air yang ada di bilik Irin. Terdengar lelaki itu mengaduh sakit. Selepas darah sudah dibersihkan,Aakif kembali duduk di katil. Irin menyapu ubat di tapak tangan Aakif yang luka. Selepas itu Irin letak kapas dan dibalut dengan bandage. Irin tidak perasan langsung yang kedudukan antara mereka begitu hampir. Dia hanya menfokuskan pada kerja yang dibuat agar ketakutannya tidak begitu terasa dalam saat-saat genting seperti itu. Itulah kali pertama Irin berada begitu dekat dengan insan bernama lelaki.

“Thanks,”ucap Aakif sambil mencium kepala Irin yang menunduk. Irin tergamam. Kaku ditempatnya. Aakif bangun dan terus melangkah keluar dari bilik. Ada senyuman kepuasan di bibir lelaki itu. Yes,Berjaya!

Irin memegang dada. Jantungnya berdetak kencang tetapi kenapa iramanya berlainan. Bukan berdebar kerana dia takut tapi…satu perasaan yang lain.

………………………..

Sudah seminggu sejak kejadian Aakif tercedera kerana terkena kaca. Tetapi,sejak dua tiga hari ini Aakif lebih banyak diam dan mukanya cemberut. Irin gusar sendiri. Dia ada buat salah ke?

“Irin! Irin!”laung Aakif kuat. Irin yang sedang membasuh pinggan tersentak. Laungan Aakif kali ini lain benar bunyinya. Macam sedang marah. Terkocoh-kocoh Irin naik ke tingkat atas.

“Aa..ada apa?” Irin berdiri di muka pintu.

“Nampak fail warna biru atas meja ni tak?” tanya Aakif serius. Lelaki itu bercekak pinggang. Irin hanya menggeleng.

“Kalau aku tanya jawablah!” tengkik Aakif kuat. Terangkat bahu Irin dibuatnya. Kini,Irin mula terbayangkan ayah tirinya yang sedang berdiri bercekak pinggang di depannya. Irin pantas duduk sambil menutup telinga. Kepala digelengkan.

“Irin…”panggil Aakif sambil cuba menghampiri Irin. Irin terus berlari turun dan masuk ke biliknya. Dia menangis semahu-mahunya. Kepala digeleng-gelengkan. Cuba menghilangkan suara tengkingan ayah tirinya yang tiba-tiba menjengah telinganya berselang seli dengan tengkingan Aakif tadi.

“Aakif jahat. Ayah jahat. Semua lelaki jahat. Irin takut. Mak….”Irin menangis sendiri. Lama kelamaan Irin tertidur dengan mata yang basah.

…………………………

“Ya Allah. Kau ampunkanlah dosaku. Kau ampunkanlah dosa kedua ibu bapaku. Kau ampunkanlah dosa suamiku dan dosa muslimin muslimat yang masih hidup atau yang sudah meninggal dunia. Ya Allah,Kau bantulah hambaMu ini untuk keluar dari segala ketakutan. Kau berilah kekuatan kepadaku untuk menempuhi segala cabaranMu ini. Amin Ya Rabbal Alamin.” Irin meraup tapak tangan ke muka. Telekung dibuka dan digantung. Rambutnya diikat kemas. Irin membuka perlahan pintu biliknya. Dia terjengah-jengah takut bertembung dengan Aakif. Takut kalau dirinya dijerkah kuat.

“Mengintai apa tu?” tegur Aakif. Irin pantas berdiri tegak. Mukanya hanya memandang lantai.

“Aku tak suka kalau aku tanya tak ada orang jawab. Macam aku cakap dengan tunggul!” marah Aakif. Sudah tidak ada lagi panggilan abang. Kini,hanya ‘aku’ dan ‘kau’. Mungkin Aakif sudah bosan terpaksa melayan isteri yang takut lelaki. Irin mengesat air mata yang tiba-tiba mengalir.

“Kerjanya asyik nak menangis je. Bosan aku tengok! Aku sentuh sikit pun dah lari. Isteri apa kau ni,ha? Selalu sangat jauhkan diri dari aku. Aku bosan tahu. Aku ni suami kau. Ketua keluarga. Nak aje aku ceraikan kau dan cari perempuan lain dekat luar tu!” Aakif bersuara lantang. Tangannya menggoncang-goncang bahu Irin. Irin menggelengkan kepala. Entah kenapa ayat-ayat yang diucap Aakif itu membangkitkan kemarahannya.

‘Ketua keluarga! Cerai! Perempuan lain!’ Itu semua perkara dan kata-kata yang pernah dihemburkan ayah tirinya dulu. Irin menolak kuat badan Aakif. Dia membayangkan ayah tirinya yang sedang berada di depannya.

“Berani kau tolak aku!” Aakif berang. Dia mencabut tali pinggang dan dilibas pada lantai. Irin memegang telinga. Kenangan dulu seperti terlayar balik di depan mata. Dia dilibas dengan tali pinggang dalam keadaannya yang sakit.

“Ayah kejam! Ayah kejam!” jerit Irin sambil meluru ke arah Aakif. Dia memukul-mukul dada Aakif yang sudah terundur ke belakang. Lelaki itu langsung tidak membalas.

“Ayah kejam! Ayah pukul Irin waktu Irin tengah sakit. Badan Irin sakit tapi ayah tak endahkan. Ayah pukul Irin dengan tali pinggang. Ayah pukul kepala Irin. Irin sakit,yah. Sakit sangat. Ayah curang dengan mak. Ayah ceraikan mak yang selama ini dah banyak bantu ayah. Ayah kejam! Ayah tak tahu betapa sakitnya Irin masa tu. Irin kecik lagi. Sebab ayah,Irin takut pada lelaki. Sebab ayah,Irin takut dengan abang. Semuanya salah ayah……….”Irin yang pada mulanya seperti singa mengamuk perlahan-lahan terduduk. Air mata merembes keluar tanpa henti. Dia terjelopok di kaki Aakif.

“Irin……”panggil Aakif dan terus memeluk Irin. Tanpa banyak bicara Irin membalas pelukan Aakif. Dia menghemburkan tangisannya di dalam pelukan suaminya. Dia rasa selamat.

“Abang minta maaf. Abang bukan sengaja nak tengking Irin. Abang bukan sengaja nak buat semua ni. Abang cuma mahu Irin luahkan perasaan yang dah lama Irin pendam tu. Pukullah abang kalau itu yang boleh buat Irin rasa lebih baik. Irin bayangkanlah yang abang ni ayah tiri Irin. Pukullah abang sekuat hati. Marahlah abang.” Aakif bersuara sambil membelai rambut Irin. Pelukan semakin dieratkan.

…………………………

1 tahun kemudian.

“Abang,boleh Irin tanya sesuatu?”soal Irin sambil melabuhkan punggung di sofa. Aakif sedang membaca surat khabar.

“Apa dia?”

“Dah lama Irin nak tanya benda ni. Pasal hal setahun lepas. Kenapa abang buat semua tu? Kenapa abang sanggup pura-pura tengking Irin? Kenapa abang sengaja nak ingatkan Irin tentang kenangan dulu?”

“Kan abang dah cakap. Abang nak Irin luahkan semua benda yang terbuku dalam hati Irin tu. Abang nak Irin lepaskan semuanya. Kawan abang cakap,Irin jadi takut dengan lelaki mungkin sebab Irin terperangkap dengan perasaan Irin sendiri. Irin takut apa yang berlaku dulu akan berulang kembali. Irin pendam semua yang terjadi tu. Sebab tu abang nak Irin luahkan. Masa kejadian tu Irin masih kecil. Tak boleh melawan. Jadi,abang nak buat Irin puas hati. Sebab tu abang ada kata,bayangkanlah yang abang ni ayah tiri Irin. Irin pukullah. Barulah Irin boleh lepaskan semua perasaan takut,marah dan dendam tu.” Cerita Aakif panjang lebar. Irin tersenyum lebar.

“Macam mana kalau masa tu Irin memang pukul abang betul-betul? Irin ambil pisau tikam abang ke. Tak ke naya.” Irin menduga.

“Masa tu abang tawakal ajelah. Abang agak Irin akan belasah abang cukup-cukup. Abang dah terbayang pun yang abang berada dekat katil hospital. Tapi,nasib baik Irin tak buat apa-apa.” Aakif ketawa sendiri mengingati kisah setahun lepas.

“Iyalah. Masa abang peluk Irin tu,Irin kan dah luahkan semua yang terbuku. Hati dan fikiran rasa lapang je. Irin rasa selamat dalam pelukan abang. Tiada lagi bayangan ayah tiri Irin. Alhamdullilah. Irin bersyukur sangat sebab dah berjaya keluar dari ketakutan ni.”

“Hmm…tapi,Irin sedar tak yang abang memang dari mula kita pindah lagi dah mulakan proses untuk hilangkan ketakutan Irin. Irin sedar tak?” soal Aakif sambil bermain dengan jari isterinya. Irin hanya membiarkan. Kemudian,Irin menggeleng.

“Ingat tak masa abang suruh Irin urutkan tengkuk abang? Masa tu abang nak buat Irin supaya tak takut dengan abang. Tak takut bila abang sentuh Irin. Tapi,masa tu tak berapa berjaya sebab Irin lari masuk bilik. Ingat tak?” duga Aakif. Dia memandang dalam anak mata isterinya. Irin mengangguk perlahan. Senyuman terukir di bibirnya.

“Lepas tu,masa tangan abang luka kena kaca. Sebenarnya,abang yang lukakan tangan abang sendiri. Abang pecahkan dua pinggan dekat dapur. Sengaja abang buat macam tu supaya Irin sendiri yang pegang tangan abang. Irin masa tu takut-takut,sebab tu abang banyak kali tinggikan suara pada Irin. Abang seronok bila Irin dengan rela hati balut tangan abang. Sebab tu abang cium kepala Irin. Abang happy sangat masa tu,”sambung Aakif. Kali ini Irin tidak tersenyum. Dia terus mencapai tangan Aakif. Dia mengusap parut kecil di tapak tangan suaminya.

“Sampai macam tu sekali abang buat untuk elokkan Irin. Terima kasih,bang. Irin takut sangat bila tengok darah abang dulu. Dahlah banyak. Lain kali,jangan buat macam tu dah. Irin tak sanggup tengok abang cedera.” Tiba-tiba Irin menangis. Aakif terus memeluk Irin.

“Abang sanggup buat apa sahaja demi Irin sebab abang betul-betul cintakan Irin. Sayangkan Irin. Dari kali pertama abang tengok Irin pengsan dulu. I really love you.” Aakif mencium dahi Irin lama.

“Terima kasih abang. Terima kasih kerana bersabar selama ni untuk menyembuhkan Irin. I love you too,abang.” Malu-malu Irin menjawab.

“Mana tak love-lovenya. Tu,dalam perut tu apa. Kalau tak cinta tak adalah Irin boyot macam tu,”usik Irfad. Entah masa bila abangnya itu muncul.

“Abang ni sibuklah.” Irin pura-pura marah. Irin bangun dan memukul perlahan bahu Irfad.

“Biarlah! Suka hati abanglah nak menyibuk ke tak,”balas Irfad selamba.

“Orang beritahu mak nanti,”ugut Irin.

“Beritahulah. Irin ingat abang takut ke.” Irfad mengangkat kening memandang adiknya.

“Mak! Tengok abang ni!” laung Irin. Puan Fatimah melangkah keluar.

“Kenapa ni Irin?”

“Tengok abang ni.” Irin memeluk manja bahu Puan Fatimah.

“Abang yang mana satu? Kamu ni suami pun panggil abang,si Irfad pun kamu panggil abang. Abang yang mana ni?” seloroh Puan Fatimah. Aakif dan Irfad sudah ketawa kuat.

“Mak ni….”manja rengekan Irin. Puan Fatimah ketawa senang. Padahal dia tahu abang yang mana yang dimaksudkan si Irin. Kalau bergaduh mestilah anak-anaknya.

“Padan muka!” Irfad mencuit hidung Irin.

“Tak nak kawan abang,”rajuk Irin.

“Abang ke?” sampuk Aakif pula. Irin pantas memukul bahu Aakif dan Irfad serentak. Suka benar lelaki berdua itu mengusiknya.

“Dua-dua abanglah!” jawab Irin geram. Akhirnya semua tertawa sendiri.

‘Ya Allah,terima kasih kerana Kau mempermudahkan segalanya. Terima kasih di atas nikmat kasih sayang yang aku perolehi ini. Terima kasih Ya Allah kerana aku masih mampu merasai kasih sayang insan bernama lelaki,’ detik hati Irin.

~SEKIAN,TERIMA KASIH~

22 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

best! superb! <3

-kleo-

BlueApple berkata...

wah!bestnye!mantop!serius mmg best cerpen ni...sweetnye si akif...

SyAz n HaNi berkata...

memang best... =))

sue berkata...

best .... terbaikkk

Afifah berkata...

terima kasih kleo, BlueApple, SyAz n HaNi dan sue.. terima kasih sudi baca dan komen.. =)

Nurfazila Suhaide berkata...

sweetnya....suka aakif

atikah berkata...

hahaha
bestnya
tahniah buat ipah
teruskan usaha untuk karya lain

blinkalltheday berkata...

besttt nye cite ni..

Wild Cherry berkata...

mula2 bace tadi ingatkan Irin mangsa rogol... rupa2nya mangsa dera... Teruk gak fobia dia smpai takut dengan lelaki...

Ingatkan betol2 la aakif dah berubah... rupe2 nye dia berlakon aje... tahniah Iffa... cerita yang menarik...

Tanpa Nama berkata...

ehh macam tak logik pun ada cerita ni takut dengan lelaki sampai macam tu sekali dengan abang sendiri pun dia takut habis tu macam mana kehidupan dia nak berhadapan dengan lelaki lain contohnya pensyarah
saya harap penulis dapat memperbaikinya good luck

somnus@atika berkata...

waa~~~dasyat..dasyat..hehhe..best..best..aishhh..cam ner la ipah dapat idea nie..hehhe...citer nie memang buat pembaca tertanya2..syabas..kerana teknik penceritaan yang menarik..hehhe...

umi kalsom berkata...

best! ;)

N.S berkata...

awwwww. so sweet! :D

Iman Kyuhee berkata...

wau! lain dri yg lain.. suke sgt!! =)

manja berkata...

best2..klo wat novel lg best..

Afifah Yusof berkata...

thanks you so much untuk semua yang sudi baca and komen ^^

Ruunna Qizbal berkata...

best

Tanpa Nama berkata...

sweetNy.. mmg terbaek la..

Fakhira Musa berkata...

Alolololo terharu nya dgn akif nie

myLA berkata...

ujian irin sangat lama allah uji kan,,tp dgn berkat doa ibu,suami,abg , dan doa diri sndri ,,allah prtemukan hkmah dsebalik ujiannya..
cerpen akak sangat best!!
imaginasi yang sangat bagos..
troskan berkarya..chaiyok!!

obat penyakit jantung berkata...

kisah yg cukup menarik sekali kita dapat ambil hikmah dari cerita ini...sukses..

Tanpa Nama berkata...

best nya